Hal Remeh-Temeh: Orang Sebelah Rumah

Pintu di dapur saya kuak seperti biasa, begitu juga dengan tingkap. Ada langsir yang bergayut di bingkai pintu, kerjanya menapis aib kami dari dalam rumah. Pintu utama jarang dibuka kecuali melepas bahangnya Zuhur. Kini ‘musim sejuk’ dan musim bah sudah mari. “This is climate change,” orang awam berhujah. Kata orang pandai, fasa Monsun Timur Laut atau faktor geografi. Saranan pihak bertanggungjawab: tanam pokok dan berdoa. Syukurlah, rakyatnya disuruh menjadi manusia.

Sudah jam 7 pagi. Saya kira masih ramai orang diulit mimpi kerana di luar sunyi sepi tidak seperti selalu.

Di seberang jalan ada sebuah kedai roti canai. Walaupun dekat, kami jarang bersarapan di situ ataupun membungkus makanan. Orang luar pula berpusu-pusu memenuhi ruang letak kereta atau berhenti di bahu jalan. Saya memerhati saja motor dan kereta yang keluar dan masuk sambil membenara di ruang balkoni. Ada yang berkemeja kemas, ada yang membawa keluarga, ada juga sekadar mahu membungkus. Hari ini tidak ada sarapan pagi untuk mereka. Begitulah hari-hari sebelumnya di mana saya melihat mereka singgah kemudian salajur pergi. Sudah hampir seminggu.

Saya tidaklah mengenali orang-orang itu—cuma melihat dari jauh—tetapi saya tahu mengapa ramai orang suka membeli di situ. Peniaga itu rajin orangnya. Cuti cuma sekali seminggu, melainkan ada cuti perayaan. Orang bilang, kuat bekerja. Seawal pagi dia meniaga roti canai, sebelah malam pula dia menyediakan masakan panas. Boleh pesan dari rumah, cuma perlu membayar saja. Saya ingat lagi kari ikannya; cair. Itu bukanlah hal kesukaan saya tetapi rotinya selebar pinggan makan, harganya juga berpatutan. Dapat menjamah sekeping roti sudah memadai, boleh membawa kenyang ke waktu tengahari.

Hari ini pula tiada santapan mentari untuk kita semua. Hujan, mendung dan angin kencang bersatu menjadi langkisau, berebut-rebut memeluk alam. Sudah beberapa minit tamatnya basuhan, saya pun membawa masuk pakaian yang perlu dikeringkan, menuju ke bilik kecil. Gantung, gantung, jatuh, gantung, siap! Hari ini saya mengulang masak Mi Goreng ala Mamak—menu kegemaran keluarga—sebelum suami keluar bekerja.

Saya lekas membersihkan diri, menyediakan sarapan pagi dan merapikan dapur. “Jiran sebelah rumah kita sudah tiada. Sunyi pula di sini, kan,” kata suami. Saya memandangnya. Tiada? Ada orang meninggal duniakah? Kemudian barulah saya teringat mengenai jiran kami yang sudah berpindah empat hari lalu. Oh. Patutlah rumah di sebelah ini sudah kosong sewaktu kami pulang dari pasar raya. Ada hari lainnya mereka tidak tidur di sini, saya pula menganggap mereka keluar bercuti. Notis “rumah untuk disewa” sudah ditampal di laluan utama di tingkat bawah. Cuma tercatat nombor telefon. Mungkin juga notis lama atau notis daripada orang lain. “Iya, iya,” jawab suami.

Begitulah hakikat bersuaka di negeri orang. Penghuni rumahnya silih berganti, sekejap keluarga Melayu, Cina atau India. Mungkin juga Bumiputera Sabah seperti saya. Kami sempat mengingat setiap keluarga yang menetap di blok ini kerana kebanyakan penghuni sangatlah peramah. Bila jarang berselisih, mereka tidak henti-henti bertanya khabar. Saya pula cukup malu, masih merangkak-rangkak mahu memahami loghat di sini. Sebenarnya tidak susah kan mahu bertegur sapa. Cukup memberi salam, mengucap hai dan senyum.

Saya sedikit kesal kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada mereka sekeluarga. Selama ini saya hanya tersenyum, mengajak anak membalas hai-hai atau bye-bye kepada Auntie dan Uncle, orang-orang yang tidak pernah saya hafal nama mereka. Sekadar merujuk “orang sebelah rumah” sewaktu berbual dengan suami, tidak kiralah jiran di rumah kiri mahupun kanan. Selama ini saya sekadar memuji masakan mereka hinggakan saya terikut-ikut menaruh minyak bijan, yang tidak pernah saya tanyakan: Jenama manakah yang terbaik?

Selama ini balkoni kami bersambung, pemisahnya cumalah dinding konkrit. Kadang-kadang pakaian kami di ampaian menari bersama. Ruangnya selalu penuh. Tidak pernah tersisa seinci pun meski membasuh setiap hari. Tetapi hari ini dan hari seterusnya, tidak ada orang yang menjemur baju sebagaimana saya tidak lagi berjemur di bawah matahari. Tidak ada lagi mesin basuh yang bergendang di waktu malam—sebelum tidur—kini ruangannya menjadi sunyi. Rumah kami berkongsi dinding yang sama, tetap jualah saya tidak rajin bertanya khabar.

Kerana hal yang baik kurang dikenang, hal buruk pula dijulang tinggi.

Begitulah adat setiap pertemuan, pasti adanya perpisahan. Setiap orang akan pergi samada diambil oleh waktu atau mengejar waktu. Kembali menjadi “orang sebelah rumah” dalam perbualan harian orang lain, menjadi seorang “dulu, dulu” tanpa nama. Untungnya jika peribadi kita disebut-sebut oleh orang lain seperti pencanai roti yang masih bercuti. Ada saja orang yang melewati perkarangan rumahnya setiap hari tanpa lelah, memberi salam dari jauh meski tak terjawab rezekinya. Bukanlah sekadar membeli roti berkuah cair, bahkan menyambung tali silaturahim dari hujung kampung.

Tanpa kita sedari, pasti saja kita boleh memilih untuk menjadi seseorang seperti itu, kan, yang mahu berusaha mengingati jasa orang lain selama mana kita hidup. Hal kecil atau besar tidaklah menjadi ukuran, melainkan niat di hati hanya Tuhan yang tahu.

Saya juga masih belajar menghafal kebaikan orang-orang di sekeliling, masih belajar merendah diri sebelum saya pulang ke negeri tercinta, tempat tumpahnya keringat dan air mata. Moga-moga saja saya boleh menerima kehadiran orang baharu, orang yang bakal menetap di sebelah rumah ini. Mereka juga pasti memahami; diam bukanlah tanda benci. Sekadar menghormati batas dan ruang peribadi masing-masing.