Belajar Bercerita

Saya suka memerhati telatah manusia di sekitar pasar raya, hospital atau warung di tepi jalan. Apakah ada manusia lain seperti saya yang suka curi-curi menulis, tertutup aibnya di belakang monitor? Apakah kami semua sama? Mustahil tiada, walau bezanya cuma cerita yang disampaikan.

Kita selalu mahu menulis mengenai hal yang baik-baik di buku, di hadapan laptop, di balik telefon. Bila nanti kita bertemu, apakah riak wajah kita menceritakan hal yang indah-indah saja?

Entah-entah kita sekadar menjuih mulut, duduk melentok di bangku taman dan berfikir hari ini mahu makan apa, hari ini gaji masukkah, dan sebagainya. Saya selalu memasang mimpi mahu bertemu dengan manusia yang banyak menulis tentang kehidupan. Betapa senangnya saya membaca penulisan mereka tanpa perlu mereka meminta-minta atau menjaja kesusahan diri. Saya tidak mampu membentuk peribadi sedemikian. Saya cumalah tahu mengeluh panjang.

Mungkin saya ialah orang yang kamu pernah berlaga bahu di tepi jalan, tidak mempunyai ciri-ciri terindah seperti kamu gambarkan, mulut pula terkatup tidak bersuara. Malah saya tidak mampu tersenyum kepada sesiapa pun kerana sudah banyak menelan kepahitan. Yang indah-indah sudah tentulah saya simpan untuk tulisan di buku, tak pun di blog ini. Saya suka menulis mengenai perkara yang sukar diluahkan, wadah yang tidak saya temukan walau tinggal di lautan manusia.

Pesan Ummi: Menulislah dalam bahasa yang sedia ada. Bahasa yang kita tahu, yang sering menjadi percakapan harian kita.

Ada benarnya pesan beliau sekiranya kita sedar kemampuan diri. Kenapa perlu malu berbahasa? Jika kita selesa berbahasa Melayu, ya, kita tulislah sebegitu. Mahu berbahasa Inggeris? Ya, silakan mengarang apa saja. Penggemar bahasa rojak? Tidak mengapa, tentu saja ada orang yang senang membaca.

Bercerita sebenarnya tidaklah sesulit mana, kata Ummi. Kita mempunyai akal fikiran yang sudah dibentuk sedari kecil. Ada pensel atau pen, kita tahu kegunaannya untuk apa. Ada buku, kertas, kita segera menyiapkan kerja sekolah. Tiada siapa-siapa yang memaksa. Sudah begitu naluri kita yang mahu belajar. Kenapa baru sekarang, bila sudah menginjak dewasa, kita mudah melatah dengan penulisan? Pen dan buku tidak lagi menjadi sahabat kita, pernah tidak kamu berfikir tentang itu?

Mungkin saja selama ini, pada hari kita mengalami writer’s block, kita cumalah berperang dengan gaya penulisan sendiri. Bukanlah kerana kekurangan idea. Setiap hari kita menggunakan akal (dan perasaan) untuk membereskan pekerjaan, untuk membuat keputusan – apakah bezanya dengan menulis pula? Apakah menulis sebenarnya tidak perlu pakai otak?

Bercerita atau menulis adalah pekerjaan seseorang yang suka menyampaikan sesuatu kepada orang lain, sesuatu yang tidak semestinya diluah melalui mulut. Tidak ada manusia yang menulis atas sebab selain itu, kan. Penulisan yang baik adalah penulisan yang senang kita hurai panjang-pendeknya menggunakan bahasa yang kita sendiri fahami. Setelah kita sedar kemampuan diri dalam berbahasa, pasti kita mampu melatih diri untuk belajar bercerita.

Andai saja kita tahu, mimik muka kita juga sebenarnya penuh dengan cerita. Begitu juga dengan bahasa tubuh kita. Tidak semuanya tiba-tiba begitu, begini. Kita semua tidak pernah lari daripada bercerita, mengapa baru hari ini kamu memutuskan untuk berhenti menulis?

——

Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke-25 buat sahabat sepermainan ketika kecil, Jessica G. D.