Luka

Longkang yang menganga
tak mampu menampung
tak mahu menanggung
tak sudi pula menelan,
limpahan air hujan di *ibu kota.

Seperti doaku sebelum tidur
menghujani tanah menjadi lumpur
membasuh luka menjadi lampau
memanggil pula bekas di hati,
supaya aku turut sama tenggelam.

——

*Kuala Terengganu | 2 Disember 2020

Berkongsi Ruang Peribadi

Saya menjengah ke media sosial kerana merindui kenalan yang sudah lama saya tak bertanya khabar, khususnya sahabat. Saya cakna perkembangan hidup mereka, namun sekadar membaca dari jauh. Jujur, saya tak punya banyak sahabat, malah selalu gagal menjadi sahabat. Ada beberapa orang yang masih saya hubungi, yang dikenali di zaman sekolah hingga ke alam universiti, yang banyak menceriakan saya di hari-hari suram, yang jenaka hambarnya membuatkan saya tak tidur malam.

Saya sebenarnya tidaklah mencari sepenuh hati, hanya gemar berteka-teki. Walaupun saya bergelut dengan kesunyian saat ketiadaan sahabat, saya sedia maklum bahawa mereka sekarang sudah sibuk dengan kerjaya. Ada yang tekun belajar, ada juga yang masih samar-samar statusnya jika ditanya. Yang penting sihat-sihat belaka. Semua orang akhirnya mengejar cita-cita mereka. Saya hormati itu semua dan akan terus menyokong, meskipun saya tidak akan selalu menjadi sebahagian daripada perjalanan mereka.

Begitulah hakikat sesebuah hubungan pada zaman ini, yang saya fikir sudah puas ditelan waktu. Kita sudah tidak mengambil serius terhadap keperluan bertanya khabar di saat semua orang sedang rancak mengemaskini status. Asalkan ahli keluarga, para sahabat dan jiran tetangga sentiasa ‘hidup’ di media sosial, sudah cukup untuk kita menebak bahawa mereka baik-baik saja, tiada masalah. Ya, tanpa disedari, kita sudah mulai mendewakan media sosial sebagai ruang perkongsian yang utama, yang mana dahulunya terhad kepada hal-hal yang tertentu saja. Kita juga telah mengangkat media sosial sebagai penanda aras untuk mengukur sesebuah kejayaan dan kebahagiaan.

Tanpa pandemik ini pun, kita sebenarnya sentiasa sibuk, atau buat-buat sibuk. Oleh sebab kita tahu hanya kematian-lah sebagai penghalang.

Saya memilih untuk berehat ketika orang lain sedang fokus mengatur kehidupan, agar kehilangan itu tidaklah terasa begitu lama. Sengajalah dilambat-lambatkan pertemuan itu agar nanti banyak cerita. Lihat saja pada hari semalam yang sudah menginjak setahun. Meninggalkan media sosial untuk mengejar ruang peribadi adalah perkara yang tak munasabah di mata masyarakat, tetapi saya memandang ia sebagai suatu proses memerdekakan diri. Prosesnya berperingkat, bukanlah dibuang sekaligus semacam orang putus cinta. Hampir setahun sudah berlalu sejak saya meninggalkan media sosial. Saya sudah jarang-jarang mengecas telefon, sudah tidak mencari-cari ke mana dia hilang di pagi hari. Sudah lama benar agaknya saya tidak mengambil tahu lagu-lagu terkini selain Didi and Friends, dan Omar Hana. Ada yang menyangka saya hidup bermasalah hinggakan saya ‘terpaksa’ memadam akaun. Ada yang berfikir saya benar-benar melupakan mereka.

Ya ya, masalah sentiasa datang dan pergi. Itu biasa. Tetapi saya tidak pernah ke mana-mana. Ada saja di sini menjawab mesej dan panggilan, antara cepat atau lambat saja.

Kehidupan saya kini tak memerlukan saya berurusan dengan banyak perkara, maka tidaklah menjadi suatu masalah, lagi-lagi untuk mempercantik ruang peribadi yang semakin rapuh dindingnya. Saya sudah tidak mahu mencari cacat-cela orang lain, sudah tidak berdaya menjadi yang terawal menekan butang suka. Penat rasanya, tak begitu? Seperti yang disebut-sebut oleh sahabat saya, “tiada siapa di dunia ini benar-benar hidup berintegriti.” Prinsip hidup kita boleh saja berubah-ubah, sama ada positif atau negatif, disebabkan oleh pengalaman-pengalaman yang telah kita kutip selama ini. Hakikatnya, kita semua di sini berkongsi tujuan yang sama. Bezanya adalah kandungan perkongsian tersebut. Kita semua bebas menjadi apa saja di media sosial. Kadang-kadang ceria, kadang-kadang marah. Ramai saja orang yang melaksanakan beberapa pekerjaan pada satu masa, bahkan golongan introvert seperti saya juga boleh lantang bersuara.

Yang cakapnya selalu berlapik-lapik, tidak pandai berterus-terang. Yang selalu berasa dirinya tidak dipandang, tidak penting kepada siapa-siapa.

Manusia introvert itu sebenarnya lebih berhati-hati dalam hal perkongsian. Ada perkara yang tak sesuai digembar-gemburkan, sungguhpun untuk pengetahuan orang terdekat. Tidak ada orang yang terlalu selesa membuka aibnya bahkan dia menjaga tindak-tanduknya agar tak menimbulkan fitnah. Biarpun bebas, tetap kita juga yang mengawal apa yang dikongsi. Pasti ada akibatnya. Sebagai seseorang yang sudah biasa di zon selesa, saya tidak pernah berfikir kemampuan saya untuk berkongsi hidup (dibaca: dinikahi dan berkeluarga) bersama orang lain (dibaca: suami).

Bukankah orang awam bersetuju bahawa introvert merupakan golongan yang kurang bersosial dan terlalu sensitif? Mengapa diberi peluang kepada orang yang tidak percaya kepada hal perkongsian? Bukankah sendirian itu lebih baik? Sanggupkah jika ruang peribadi dicerobohi orang?

Begitulah lebih kurang prinsip-prinsip yang saya fahami sebelum ini. Kalau saya sendiri sudah bertahun-tahun penat melayan kegilaan ini, siapa pula yang sanggup ikut campur. Walaupun saya hidup tidak pernah sendiri-sendiri, saya tetaplah orang yang membesar di tempat yang tidak punya ciuman dan kata pujian. Saya-lah orang yang tidak pernah diajar mencintai adik-adiknya. Kalau saja lebih awal saya menjadi dewasa, sudah tentu saya tahu kepada siapa perlu dikongsi resah di hati. Bukan kepada media sosial, bukan kepada orang asing. Barangkali sudah menjadi lumrah kita sebagai manusia; kita berkongsi melalui sentuhan, kita hidup pula bermasyarakat. Sekuat mana semangat kita membelah badai, serapat mana ditutup ruang peribadi ini, kita tetap kembali mencari seseorang atau sesuatu yang boleh mengisi kekosongan di hati, yang boleh memahami erti perjuangan hidup ini.

Dari situlah kita belajar untuk berkongsi ruang dan rasa bersama orang yang layak diperjuangkan.

Saya tidak menyalahkan sesiapa, melainkan diri ini. Janganlah dituduh orang tuaku konon-konon tidak pandai mendidik anak. Andai diberi peluang untuk melihat hidup ini dari padangan orang tuaku, sudah pasti mereka sangat mencintaiku. Mungkin saya-lah yang terlambat menjadi dewasa. Saya seharusnya belajar lebih awal untuk menghargai orang di sekeliling, supaya tidak wujud ruang untukku mengeluh. Kalau tidak berumahtangga pun, biarlah sisa-sisa akhir hidup ini diperjuangkan untuk keluarga saja. Dan untuk seorang introvert itu belajar bercerita, dia mestilah belajar bergaul dengan masyarakat.

Hmm, begitukah? Mungkin ya, mungkin tidak.

Saya pernah membesar di sekolah asrama. Jarang pulang ke rumah, itu pun kalau ada duit untuk membayar sewa van. Tiga jam lebih perjalanannya tanpa berehat. Sesudah bersekolah asrama, saya pergi lebih jauh untuk menyambung pengajian. Aha, jauh itu tidaklah sampai ke China. Ada beberapa keluarga yang saya temui, yang melayan saya seperti anak walaupun pertemuan itu di ruang solat di lapangan terbang, di tepi-tepi jalan, ada juga di stesen-stesen bas. Saya paksakan saja diri ini menerima kebaikan yang diberi tanpa banyak tanya. Berlakon saja demi menjaga hati orang. Pura-pura berbasa-basi meskipun tak begitu mahir, mudah panik. Sudah berbelas tahun meninggalkan rumah, sudah bermacam-macam tempat saya pergi, berjumpa pula pelbagai ragaman, tetapi saya masih belum tahu caranya berkongsi ruang peribadi.

Aneh.

Tetapi kini, saya lebih tenang. Kadang-kadang saja panik itu datang menumpang. Saya belajar beberapa perkara tentang ruang peribadi, terutamanya perihal menjadi seorang ibu. Bagi seseorang yang membesar jauh dari keluarga, saya memandang anak-anak ini sebagai harta yang tidak tersebut nilainya. Anak-anak kecil ini memberi saya ruang untuk memperbaik kekurangan dari masa lalu. Mungkin ada bahagian dari masa lalu yang membuatkan saya berasa kurang disayangi, dan ya, sekarang ini saya boleh menyayangi anak-anak dengan cara sendiri. Begitulah sebenarnya yang terjadi pada orang tuaku, mereka menyayangiku dengan cara mereka sesuai dengan kemampuan diri dan keadaan semasa. Sebab itulah saya bercita-cita mahu menjadi suri rumah saja. Saya masih dalam proses menyesuaikan diri. Saya tahu saya bukanlah perempuan yang terdidik untuk menjadi seorang ibu. Ya, saya merendah diri kerana saya tahu benar kemampuan diri. Percayalah, kita tidak akan pernah bersedia. Hidup ini akan sentiasa banyak tiba-tibanya.

Kita merupakan manusia introvert, yang buah fikirannya lebih banyak daripada pelaksanaannya, yang takut-takut akan masa hadapan. Tidur pula tak lena kerana dunia luar semacam medan perang. Tetapi kita juga seorang anak, sahabat, pelajar, ibu, bapa atau apa-apa saja pekerjaan lainnya, dan itu adalah pembakar semangat kita untuk terus berjuang. Seperti pesan Ummi saya dahulu, “orang muda tidak boleh mengalah dengan hidup.” Keluar saja dari zon selesa. Tambah pengalaman. Agar kita semua boleh menjadi yang terbaik sama ada sendiri-sendiri, berdua mahupun berjemaah.


Jika hendak mendengar cerita bahagia, silakanlah terlebih dahulu mendengar daripada orang tuamu, keluargamu; orang-orang yang akan memberi banyak nasihat. Sengaja saya tekankan di sini bahawa perihal rumah tangga bukanlah sekadar perkongsian hidup dua manusia. Tak juga bermaksud kebahagiaan tingkat tertinggi. Hidup ini ada banyak pilihan, dan kita semua memilih hendakkan bahagia yang bagaimana setiap hari. Makan aiskrim pun kita berasa senang hati, bukan?

Pilihan kita mungkin tidak sama seperti yang lain, maka janganlah menangis, teruskanlah mencari di mana saja. Mungkin ada di depan mata tapi kita pilih untuk menjadi buta.

Tulisan ini adalah perkhabaran dari pengalaman-pengalaman lalu yang membentuk peribadi saya hingga ke hari ini. Saya tidak sama sekali mengajak orang untuk fokus kepada hal percintaan saja — walaupun dunia ini kekurangan kata-kata cinta dan memerlukannya — cumanya saya lebih suka menyebut mengenai perjuangan kita kepada orang di sekeliling (orang tua dan keluarga misalnya), andai saja kita lebih awal menjadi dewasa.

Kurangkan menghadap media sosial, lebihkan bertanya khabar dan bercakap mengenai kebaikan orang. Kerana kita semua akhirnya hanyalah kumpulan cerita yang menyusun kematian.

——

Foto oleh Amith Nair